Apabila seseorang berhajat hendak melakukan sesuatu perkara, sedangkan dia meragui sama ada perkara itu sesuai atau tidak, disunatkan untuk melakukan solat sunat istikharah.
· Takrif Istikharah
Bahasa : Istikharah ialah perkataan Arab yang bermaksud meminta penjelasan ataupun panduan
Istilah : Istikharah ialah solat sunat yang dilaksanakan bagi memohon petunjuk Allah SWT dalam memilih ataupun melakukan sesuatu perkara ataupun urusan. Ini berlaku sekiranya kita masih berasa ragu-ragu dengan pilihan kita sama ada mahu meneruskan sesuatu pekerjaan atau sebaliknya.
· Niat Solat Sunat Istikharah:
صلّى سّنّة الاستخارة ركعتين أداء الله تعالى أ
· Hukum Solat Istikharah dan Bilangan Rakaat
Hukum solat Istikharah adalah sunat. Bilangan rakaatnya adalah dua rakaat sebagaimana terdapat dalam hadis.
Kata al-Hafiz Ibn Hajar : Jika seseorang itu solat Istikharah satu rakaat sahaja adalah tidak memadai. Jika seseorang itu solat Istikharah lebih daripada dua rakaat adalah memadai, walau bagaimanapun dia perlu memberi salam selepas dua rakaat. Jika dia terus solat empat rakaat dengan satu salam adalah tidak memadai.
· Kelebihan Solat Istikarah
Sabda Rasulullah SAW:
Daripada Sa’d bin Abi Waqqas katanya, Rasulullah SAW bersabda: Sesetengah daripada kebahagiaan anak Adam ialah dia beristikharah kepada Allah, dan sesetengah daripada kebahagiaan anak Adam dia redha dengan apa yang telah ditentukan kepadanya oleh Allah, dan sesetengah daripada kecelakaan anak Adam ialah dia meninggalkan istikharah kepada Allah dan sesetengah daripada kecelakaan anak Adam ialah dia benci dengan apa yang telah Allah Azza Wajalla tetapkan kepadanya.
(Riwayat Ahmad)
· Keadaan yang dikehendaki untuk melakukan Solat Sunat Istikharah
Kata Imam an-Nawawi: Sesiapa yang menghendaki sesuatu perkara, dia solat dua rakaat dengan niat solat Istikharah. Kemudian berdoa,doanya akan dijelaskan kemudian.
Kata Ibn Abi Jumrah: Sesuatu perkara sebagaimana terdapat dalam hadis, sekalipun umum tetapi bermaksud khusus, kerana perkara-perkara wajib dan sunat tidak perlu istikharah melakukannya. Begitu juga yang haram dan makruh, tiada istikharah dalam meninggalkannnya.
Kata al-Hafiz Ibn Hajar: Ia merangkumi perkara-perkara yang yang untuk melakukannya mempunyai masa yang luas, dan merangkumi perkara besar dan kecil, kadang-kadang perkara kecil tetapi membawa kepada pulangan atau akibat yang besar
No comments:
Post a Comment